Carok Sebagai Elemen Identiti Manusia Madura

Ilustrasi: Carok

Mohamad Fauzi Sukimi

1.0    Pengenalan

Sesuatu keunikan seringkali dijadikan elemen penting bagi memperkatakan identiti, sama ada identiti individu ataupun identiti kelompok. Ciri fizikal, corak dan gaya berpakaian, pola perilaku, dan aktiviti-aktiviti budaya yang memperlihatkan keunikan berbanding hal-hal yang dianggap lazim oleh orang lain sering dianggap sebagai elemen yang mencerminkan identiti. Bagi orang Melayu di Malaysia misalnya, agama Islam, raja dan bahasa Melayu dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Melayu (Shamsul 1996). Di samping ketiga unsur tersebut, unsur-unsur lain seperti pemakaian songkok dan baju Melayu misalnya, telah dianggap sebagai unsur pakaian yang mencerminkan identiti orang Melayu.

Mengenai masyarakat Madura di Indonesia, Kuntowijoyo (2002) dan Andang (2004) telah menunjukkan betapa identiknya Islam dan pentingnya peranan ulama atau kiai dalam kehidupan orang Madura. Agama Islam dibawa masuk ke Pulau Madura pada abad ke 15 dan 16 oleh para pengikut Wali Songo, terutamanya pengikut Sunan Giri dari Gresik. Pengaruh agama Islam terhadap unsur kehidupan masyarakat Madura dapat dilihat terutamanya pada hubungan yang erat antara ulama dengan anggota masyarakat.[1] Besarnya peranan Islam dan ulama atau kiai di dalam kehidupan orang Madura tidak hanya diperakui oleh masyarakat umum tetapi juga pihak pemerintah Indonesia. Dalam konteks rancangan pembangunan misalnya, pihak ulama atau kiai lah yang lazimnya didekati untuk mengetahui pandangan masyarakat Madura.

Selain kedua unsur tersebut, bahasa dan budaya Madura merupakan unsur yang penting untuk membezakan mereka daripada etnik lain yang terdapat di Jawa Timur. Tidak dapat dinafikan bahawa bentuk budaya masyarakat Madura adalah hampir sama seperti masyarakat Jawa.[2] Bahkan ditinjau dari perspektif yang lebih luas, budaya Madura termasuk dalam lingkaran kebudayaan Jawa-Bali-Madura-Sunda. Namun begitu, budaya Madura mempunyai bentuk dan jiwa tersendiri, yang sebahagiannya dipengaruhi oleh keadaan cuaca dan bentuk muka bumi yang kasar. Perbezaan ketara yang dapat dilihat dengan jelas adalah dari segi bahasa.  Sehubungan dengan itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam, ulama atau kiai dan bahasa Madura dapat dianggap sebagai asas kepada pembentukan identiti Madura.[3]

Selain ketiga unsur tersebut, terdapat unsur lain yang turut menyumbang terhadap identiti Madura. Hal ini kerana, unsur yang mencerminkan identiti suatu kelompok etnik tidak hanya disedari dan diakui oleh anggota kelompok etnik terbabit, tetapi adakalanya diakui oleh kelompok lain. Dalam kehidupan seharian misalnya, sikap serta mentaliti antara orang Madura dianggap berbeza berbanding orang Jawa. Orang Madura terkenal dengan sikap berterus terang dan lurus, yang mana hal tersebut terlihat dalam cara mereka berbicara. Pada pandangan orang luar, orang Madura sering dianggap kasar dan tidak berbudi bahasa.[4]

Di samping stereotaip tentang orang Madura tersebut, dalam kehidupan seharian orang Madura terdapat beberapa aspek yang dikatakan berciri khas Madura seperti soto Madura, sate Madura, karapan sapi, carok, remo dan ojung. Di Indonesia, ‘carok’ telah dianggap sebagai sesuatu yang khas milik kelompok etnik Madura. Dalam kelompok etnik lain, tidak dikenal apa yang disebut sebagai carok. Hanya di dalam etnik Bugis sahaja yang dianggap mempunyai pola perilaku yang hampir menyerupai carok, iaitu fenomena yang disebut sebagai ‘siri’ (Pelras 1996).

Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini cuba mengupas tentang fenomena ‘carok’ di kalangan orang Madura. Kertas kerja ini tidak bertujuan untuk membahas atau menilai carok dari sudut pandang moral. Sebaliknya, kertas kerja ini hanya mengupas fenomena carok dari sudut pandang pihak berkuasa dan pengalaman seharian orang Madura tentang pengertian carok, bentuk-bentuk carok, nilai dan norma masyarakat Madura yang mendukung carok.

2.0  IDENTITI DAN ETNISITI

Sebelum mengupas lebih jauh tentang carok sebagai elemen identiti orang Madura, elok rasanya difahami tentang pendekatan yang diguna untuk memahami konsep identiti. Identiti merupakan suatu persoalan atau konsep yang dapat dilihat sama ada dari sudut pandangan yang sederhana atau yang lebih kompleks. Hal ini kerana identiti sebagai suatu konsep dapat dilihat sebagai suatu objek yang mempunyai dua sisi. Di satu sisi, identiti dapat dilihat sebagai sesuatu fenomena yang ‘natural,’ ‘kaku,’ dan tidak perlu diperdebatkan. Pada masa yang sama, ia dapat dilihat sebagai fenomena yang bersifar ‘cair’, boleh berubah-ubah, dan dapat diperdebatkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.